Ibu Bapa Bukan Liabiliti

Tulisan ini sangat menyentuh hati saya sebagai anak. Bersalah kiranya saya tidak berkongsi tulisan ini.

Halimzaki- Bacalah demi kebaikan kita bersama.

 

 

 

Ingatan kita bersama (Peringatan bagi yang lupa)

“Ibu Bapa Bukan Liabiliti”

Hari ini saya ingin kongsikan sesuatu yang saya kira cukup istimewa dan patut kita renungkan bersama. Tika saya menyemak email di kotak email di rumah, tiba-tiba perhatian saya tertarik pada satu email bertajuk “Ibu Bapa Bukan Liabiliti”…

Lalu saya membuka dan membacanya…

Email tersebut sungguh bermanfaat kandungannya, oleh itu, untuk kebaikan dan manfaat kita bersama saya siarkan semula isi kandungan email tersebut untuk kita berkongsi bersama.

Terima kasih kepada penulis asal saudara Pahrol Mohd Juoi di atas tulisannya berjudul

‘Nota Hati Seorang Lelaki’ ( Pahrol Mohd Juoi )  Beginilah kisah benarnya…

Entahlah apa yang selalu bermain pada fikiran ayah.

Apabila saya ingin pulang kembali ke kota, dia kerap minta duit. Seakan-akan mendesak….

“Ada duit? Minta ayah sedikit..”

Saya masih ingat waktu itu kehidupan saya terlalu sukar.

Untuk mendapat seratus ringgit di dalam poket pada satu-satu masa pun payah.

Kalau balik kampung selalunya duit yang ada hanya cukup-cukup tambang.

Mujurlah, isteridan anak-anak saya sudah faham.

Alhamdulilah mereka ‘sporting’ dan tidak banyak meragam.

“Emak, ayah asyik minta duit. Bukan tak mahu bagi, tapi saya memang tak adaduit,”

Bisik saya kepada emak. Emak seperti biasa, berwajah selamba, sukar ditembak reaksinya.

” Bagilah beberapa yang ada,” cadang emak pendek.

“Takkan 5 ringgit?” Emak mengganguk.

Saya rasa bersalah untuk memberi ayah wang sebanyak itu. Apalah yang boleh dibeli dengan wang RM 5 ringgit….

Tapi kerana tidak mahu menghampakan harapa ayah dan ikutkan cadangan emak, saya gagahi juga memberinya.

Ayah selalunya tersenyum menerima pemberian saya.

Tetapi yang mengejutkan  ialah apabila kami sekeluarga berada dalam perut bas dalam perjalanan pulangke kota. Di kocek anak saya sudah terselit wang sepuluh ringgit.Siapa yang bagi kalau bukan ayah? 10 tolak 5, saya masih ‘untung’ 5 ringgit.

Gelihati mengenangkannya.

Begitulah selalunya tahun demi tahun.Apabila kami pulang ziarah ke kampung, saya akan memberi pemintaan ayah.

Kekadang terlupa, tetapi ayah akan selalu mengingatkan.Akhirnya, saya memang sediakan peruntukan khas untuk diberikan kepada ayah setiap kali pulang kampung.

Kedudukan ekonomi sayayang masih goyah kekadang hanya mengizinkan wang dua ringgit untuk diberikan kepada ayah.

Ironinya, ayah tetap dengan pemintaannya dan tetap tersenyum  apabila menerima. Tidak kira berapa jumlahnya. Emak terus-terusan selamba.

Saya masih sukar menandingi ketajaman rasa seorang isteri (emak) dalam memahami hati suaminya (ayah). Begitupun setiap kali dalam perjalanan pulang, kocek anak saya akan jadi   sasaran.Kekadang itulah duit pelengkap membeli tiket pulang.

Ayah akan sentiasa memasukkan duit yang melebihi jumlah saya berikan kepadanya. Saya tidak mengambil masa lama untuk memahami apa maksud tersirat disebalik perlakuan ayah itu. Dia meminta wang pada saya bukan kerana ‘tidak ada’, tetapi dia ada sesuatu yang lebih besar ingin dicapainya atau disampaikannya.

Namun, secara bertahap-tahap buku tulisan saya semakin mendapat sambutan.Bukan itu sahaja, perniagaan yang saya mulakan secara kecil-kecilan semakin membesar. Kalau dulu kami pulang ke kampung dengan bas, tetapi selepas beberapa tahun saya pulang dengan kereta milik sendiri.

Saya masih ingat komen ayah ketika saya pulang dengan kereta kecil Kancil milik kami sendiri.

“Nanti, besarlah kereta kamu ini….” ujur ayah senyum.

Apapun saya tetap memenuhi permintaan ayah setiap kali pulang ke kampung.

Wang saya dahulukan kepadanya. Dan ayah juga konsisten dengan sikapnya, ada sahaja wang yang diselitkan dalam kocek anak saya.

” Eh tak payahlah ayah…” sekarang saya mula berani bersuara.

Ekonomi keluarga sudah agak stabil. Malu rasanya mengambil duit ayah walaupun perantaraan pemberian datuk kepada cucunya.Saya tahu dan sedar, hakikatnya ayah hendak memberi kepada saya sejak dulu, tetapi sengaja atau tidak ingin saya merasa segan, duit diberi melalui anak.

“Kenapa, dah kaya?” usik ayah.

Hendak tak hendak, duit dikocek anak tetap diselitkannya. Cuma sekarang bezanya, duit itu tidak lagi ‘dikebas’ oleh  saya.Dan dalam hati, saya mula berasa senang kerana jumlah yang saya berikan kepada ayah, kini sudah melebihi apa yang mampu diselitkan kekocek anak saya.

Tidak semacam dulu lagi, duit pemberian ayah kepada anak saya sentiasa melebihi duit pemberian saya kepadanya. Masin sungguh mulut ayah. Tidak sampai tiga tahun, kami bertukar kereta!.

Di samping menulis, saya menjadi penerbit. Perniagaan semakin rancak. Oleh sebab bilangan anak bertambah dan keperluan kerja yang meningkat saya sudah membeli MPV utuk kegunaan harian. Anak-anak mula menjejak menara gading. Kehidupan semakin laju dan aktiviti semakin rancak.

Namun sibuk sekalipun  saya tetap pulang menziarahi ayah dan ibu. Anehnya ayah tetap memberi kepada anak saya walaupun kini saya telah dikenali sebagai korporat yang berjaya. Rupa-rupanya, ayah memberi bukan kerana kekurangan atau kelebihan kami,

tetapi dia MEMBERI KERANA ALLAH.

Mencontohi Allah al-Wahhab itu!

Anda ingin tahu apa pesan penulis itu kepada saya?

Ya, mari kongsi bersama :

” Kini aku benar-benar faham bahawa ibu ayah yang tua bukan beban dalam kehidupan di dunia, lebih-lebih lagi dalam kehidupan di akhirat.

Mereka bukan ‘liabiliti’ tetapi sebenarnya aset untuk kita (walaupun istilah itu  sebenarnya kurang atau tidak tepat kerana ibubapa bukan benda).

Rugi betul siapa yang mempunyai ibu bapa yang telah tua tetapi mengabaikannya.”

“Memberi kepada ibu bapa hakikatnya memberi kepada diri sendiri. Walaupun itu bukan niat kita ketika memberi, tetapi percayalah rezeki berganda akan pulang kepada kita semula.”

DOA MEREKA MUSTAJAB.

Harapan mereka kenyataan. Kasih mereka bekalan. Benarlah sepertimana sabda Rasulullah s.a.w, keredhaan Allah terletak kepada keredhaan ibu bapa.”

Baiklah, inilah sebenarnya rahsia ‘perniagaan’ yang jarang-jarang diperkatakan oleh tokoh korporat. Juga tidak pernah ditulis dalam  mana-mana buku perniagaan.

Masih punya ibubapa?

MEMBERILAH KEPADA MEREKA.

Tidak ada? Tidak mengapa, memberilah kepada anak-anak anda.

Tidak ada juga? Memberilah kepada sesiapa sahaja.

Kita sentiasa berfikir untuk memberi.

Memberi kepada orang lain bererti memberi kepada diri kita sendiri walaupun itu bukan maksud kita ketika mula memberi!

Baca hayati, selami dan insafi…… Amalkan, doa ibu bapa amat mustajab…Bahagia dunia akhirat…

Moga Allah s.w.t. membimbing kita dan membawa kita kepada pembimbing yang boleh membawa kita kepadaNYa. Amin..

Dipetik dari inbox Halimzaki

Halimzaki

 

Peniaga VS Pekerja

وما أرسلناك إلا رحمة للعالمين .

Dan tidaklah kami utuskan mu melainkan menjadi rahmat kepada seluruh alam

Alhamdulillah,berpaksikan ayat di atas..kita wajib sedar asal dan matlamat kejadian kita. Tidak dijadikan kita tiada bersebab ataupun semata untuk berseronok gembira menikmati segala Rahmat kurniaan Allah tanpa kita juga menjadi Rahmat kepada makhluk Allah yang lain. Atas kesedaran inilah terhasil dua kelompok besar manusia yang secara fitrahnya ingin menyumbang kepada kemakmuran alam.

Manusia yang bergelar pekerja dengan kerjanya bercita2 untuk menjadi penyumbang kepada kesejahteraan alam dan segolongan lagi manusia yang berniaga dengan perniagaannya juga berharap kehadiran mereka memberi rahmat keseluruh alam. Tetapi sejauh mana kedua2 golongan ini menyumbang atau menjadi antara mereka yang digelar Rahmatan Lil Alamin.

Mereka yang bekerja mempunyai ruang untuk menyumbang kepada alam di sekeliling mereka tetapi ianya terhad kerana mereka lebih banyak menghabiskan masa bekerja untuk menyara kehidupan tetapi bagi yang berniaga,terlalu banyak ruang dan ketika dapat mereka luangkan untuk berbakti kepada alam di sekeliling mereka. Situasi mudah untuk kita faham, pekerja bekerja untuk majikannya tetapi majikan berniaga bukan sekadar untuk alam di sekeliling malah juga untuk pekerja itu tadi. Dengan keuntungan hasil dari perniagaan,majikan akan memberikan sebahagian dari keuntungan tadi sebagai upah kepada pekerjanya yang berhak. Dapat dilihat di sini,kehadiran peniaga lebih memberikan rahmat kepada alam ini dengan berbagai sumbangan mereka. Rasulullah SAW juga adalah seorang peniaga. Berniaga adalah sunnah baginda. Kita pun sering mendengar 9 dari 10 rezeki datangnya dari berniaga.

Berniagalah walaupun sekadar separuh masa. Janganlah pula malu dengan perniagaan sendiri,selagimana ianya urusan jual beli yang sah dan halal dalam Islam..teruskan. Hatta sekadar berniaga air minuman di tepi jalan,selagimana kebersihan di jaga,pembelinya dapat menghilang dahaga,berpatutan pula seunit harga…teruskanlah meniaga,pasti seluruh alam akan suka. Semangat berniaga perlu dipupuk oleh setiap manusia yang mampu demi mengharungi badai inflasi. Sekadar bekerja tanpa berniaga,bukan lagi suatu budaya mendepani kehidupan desa apatah lagi kota.

Ayuh sahabat,ayuh rakan, ayuh taulan,ayuh warga yang menjadi pewaris baginda…ayuh berniaga. Jatuh bangunnya mematangkan kita. Susah senangnya memotivasikan kita. Berniagalah apa saja. Asal ia bermanfaat untuk seluruh warga. Alangkah indah sekiranya barang dagangan kita menjadi pelengkap kehidupan seluruh warga. Sekadar berkongsi rasa,dikala inflasi semakin terasa.

Halim Zaki